


Cik Uteh disahkan meninggal dunia
Petugas hospital mengeluarkan peralatan perubatan yang dipakai Cik Uteh semasa hayatnyaPada lebih kurang pukul 12.00 am-12.25am hari Ahad 29 Mac 2009,Cik Uteh,77 tahun, telahpun menyahut panggilan Illahi kembali ke rahmatullah . Kematian beliau pertama kalinya disahkan oleh Dr Penny yang selalu merawat beliau apabila beliau sakit . Kemudain pihak Hospital Pekan juga telah datang dan mengesahkannya sekali lagi . Ironinya,kematian beliau pada usia Encik Blogger 38 tahun dan beliau melahirkan Encik Blogger juga pada waktu umur yang sama .
Keadaan kesihatan Cik Uteh sebenarnya tidaklah nampak begitu berbeza dari hari hari sebelumnya . Tetapi seminggu kebelakangan ini beliau nampaknya sangat enjoy dengan tidur beliau dan tiada gangguan langsung semasa beliau nyenyak tidur tidak seperti sebelum ini dimana beliau kerap batuk dan mengeluarkan kahak .
Pemergian beliau pada pagi ahad tersebut dapat disaksikan oleh Encik Blogger dan keluarga . Boleh dikatakan symptom lelah yang selalu dialami beliau seperti sebelum ini telah menyerang beliau disaat saat akhir kehidupan beliau . Kami sekeluarga sebenarnya tidak menyangka bahawa serangan lelah seperti itu adalah yang terakhir untuk Cik Uteh kerana keadaanya tidaklah begitu teruk jika dibandingkan dengan serangan yang telah berlaku sebelum ini . Beliau kelihatan tenang setelah mendapat rawatan lelah dari mesin Nebulizer dan seolah olah terus tertidur . Tetapi itulah saat saat terkahir beliau sebenarnya . Seketika kemudian,kami akhirnya sedar bahawa beliau telahpun meninggalkan kami semua . Pengesahan dari doktor akhirnya telah menutup segala kesengsaraan yang beliau alami selama ini .
Dimasukkan ke hospital Pekan pada 1 Oktober 2008 dan akhirnya kembali kehadrat tuhan Rabbul Jalil pada pagi Ahad 29 Mac 2009 pada umur 77 tahun,2 bulan dan 10 hari . Selama 6 bulan beliau berjuang seorang diri menentang hukum alam terhadap diri beliau . Sangat hiba mengenangkan seseorang tua yang harus berbaring di katil selama 6 bulan tanpa boleh bercakap dan bergerak,tetapi disitulah keagungan Allah yang suka membuktikan betapa kerdilnya kita sebagai hamba dan besarnya dia sebagai Tuhan .
Kepada yang datang kerumah kami untuk menziarahi beliau,membantu dalam urusan pengkebumian dan kepada sesiapa yang menghubungi kami melalyui telefon dan sms untuk menyampaikan salam ingatan kasih sayang kepada kami,kami sekeluarga mengucapkan ribuan terimakasih dan hanya Allah lah yang akan menyayangi anda semua serta berlaku ehsan terhadap kita atas apa kebaikan yang kita semua lakukan .
Juga kepada sesiapa yang mempunyai urusan yang belum diselesaikan dengan Cik Uteh,kami keluarga yang masih tinggal bolehlah dihubungi untuk menyelesaikan perkara perkara yang sepatutnya diselesaikan . Hubungi saya,Aminuddin - 0123000820 or 0192303903
Kerinduan Tiada Noktah
Apabila gugur relai relai dari Loh Mahfuz
Tercatit nama Uteh bt Hawa
Maka Izrail datang memacu nafsu
Memohon untuk menyelesaikan tugas
Beliau tiba dalam rongga-rongga udara
Senyap sepi tak diketahui
Kami disini mendengar bisik bisik derita
dari katil seorang tua
Bisik sengsara,bisik sengsara
Dimana derita,disini derita
Kami dengar rintih kemanusiaan
Kami dengar tangisan jiwa
Kami dengar roh yang menjerit hiba
Kami dengar ibu menghadap takdirnya
Manusia kekal sebagai manusia
Walau benci menatap seksa
Walau tak upaya membantu yang derita
Walau besar mana cita cita
Manusia tetap hamba
hina dina tiada istimewa
Apa makna tangisan digurun tiada manusia
Apa makna jeritan dilaut dalam tanpa sesiapa
Hanya ehsan tuhan jadi taruhan
Genggam kuat kuat wahai ibuku
Penderitaan ini fana
Kesengsaraan ini sementara
Ibu
Jika tumpah airmata dari seluruh tubuh pun
Mana mungkin milik tuhan
Menjadi milik hamba
Airmata jadi teman dalam perjalanan ke Mahsyar
Airmata tanda kasih abadi terpaut sepejal besi
Airmata tanda hati tidak akan mati
Ibu
Jika kepergianmu mendamaikan
Relakanlah
Itu tanda tuhan bukan hamba seperti kita
Jika kepergianmu memeritkan
Relakanlah
Itu tanda tuhan bukan seperti yang kita sangka
Sepi tanpa sekujur tubuh bernama Ibu
Adalah penderitaan panjang
Tiada noktah
Wahai Ibu
Perpindahan ini bukan pilihanmu
Tapi Penciptamu
Yang Besar,Kuat dan Gagah
Penderitaan adalah kifarah
Tenangkan lah hatimu
Bulatkanlah akidahmu
Wahai Ibu
Sampaikan salam sayang kami pada Kekasihmu Ab Kadir
Bunga-bunga cinta kan mekar semula
Tiada lagi rindu tak berbalas
Tiada lagi senyum tak dilepas
Kami terbau harum ketenanganmu disana
Kami terdengar hilai kegembiraanmu
Cinta dan air mata ini
Mengiringi perjalananmu Ibu
Perjalanan yang memisahkan
Tetapi menyatukan
hati-hati anak mu
selama lamanya
Anakmu
3:43 am Selasa 31/3/09

4 comments:
Salam Takziah buat en blogger dan keluarga.
Sesungguhnya blog en blogger telah menyedarkan saya betapa sebesar mana pengorbanan kita terhadap ibu, mungkin tidak dapat menandingi pengorbanan ibu terhadap kita. InsyaAllah sementara ibu saya masih ada, akan saya curahkan segala kasih sayang terhadapnya selagi masih sempat. Syurga dibawah tapak kaki ibu dan harapnya kita bersama dapat ditempat kan disana. Yang hidup pasti akan pulang ke tempat asalnya. Semoga masa dapat menyebuhkan perasaan en blogger. sekian wasalam.
ami, salam takziah dari kami sekeluarga. Anne, Oman.
Terimakasih diatas ucapan takziah dari Anne dan zamross . Sesungguhnya manusia sentiasa tiada pilihan apbila berdepan dengan tuhan yg amat besar lagi gagah . Sehiba mana pun kehilangan yang kita ratapi dan seberat manapun kita menggalas perasaan sedih,apa bila masanya telah tiba,maka hadapilah ia dengan seluruh kekuatan dan cebisan iman . Itulah manusia yang punya awal dan akhir .
Buat zamross,jika anda telah merasakan cukup berbuat baik kepada ibu anda,itu bermakna masih tidak cukup kebaikan yang anda lakukan . Lakukan kebaikan semasa beliau masih memerlukannya,jangan lokek dengan apa saja yang kita ada kerana martabat ibu adalah martabat tertinggi dalam hiraki kemanusiaan .
Amin, kwan sekeluarga ucapkan takziah pada awok sekeluarga Tiada apa yg perlu disedihkan sbb kita pun akan "pergi juga" . Tapi sebagai manusia siapa lah kite ....
Life Must Be Go On...
seripoh
Post a Comment